Langkau ke Kandungan Utama

Fakta Wangian

Apakah yang ada dalam bau?

Tahukah anda, kebanyakan manusia dapat membezakan lebih daripada 10,000 bahan bau yang berbeza? Manusia juga mampu mengingati bau dengan ketepatan 65% selepas satu tahun.  Itu sebabnya wangian mampu membangkitkan perasaan yang kuat.

Bagaimana wangian dihasilkan?

Hanya sebahagian kecil daripada kebanyakan produk diperbuat daripada wangian – biasanya kurang daripada 2%. Namun, jumlah yang sedikit itu mengandungi banyak molekul bahan kecil yang perlu digabungkan dengan penuh kepakaran. Wangian berasaskan minyak yang tipikal boleh mengandungi sehingga 50 bahan berbeza. Manakala, wangian kompleks mungkin mengandungi antara 50 hingga 200 bahan.

Pembuat minyak wangi menggabungkan bahan wangian untuk menghasilkan bau. Bagi kami, mereka memilih bahan daripada palet yang kami luluskan dan ia mungkin merangkumi bahan yang:

  • Wujud secara semula jadi iaitu ekstrak daripada tumbuhan dan bunga
  • Serupa dengan bahan semula jadi iaitu bahan sintetik yang menyerupai bau semula jadi secara kimia tetapi dihasilkan di makmal
  • Direka khas iaitu bahan yang dihasilkan di makmal menggunakan kombinasi molekul berbeza bagi menghasilkan bau baru yang kompleks dan unik

Bagi palet bahan wangian SC Johnson,’ kami mewajibkan supaya mana-mana bahan wangian yang digunakan oleh pembuat minyak wangi kami memenuhi standard International Fragrance Association (Persatuan Wangian Antarabangsa) serta standard SC Johnson sendiri.

Analisis dalaman kami mungkin melihat pada kriteria yang sama dengan IFRA seperti kekarsinogenan, kemutagenan atau ketoksikan reproduktif tetapi kami mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai sesuatu bahan. Ada masanya, kami mungkin turut mengambil kira faktor tambahan seperti keyakinan pengguna dengan bahan itu atau pandangan saintifik lain.

Bagaimana bau berfungsi?

Anda mempunyai reseptor bau dalam hidung yang mencetuskan isyarat elektrik unik yang ditafsirkan oleh otak sebagai bau.

Disebabkan oleh kedudukan di mana reseptor bau terletak dalam otak anda, apabila anda menghidu sesuatu bau, otak anda akan menghubungkan bau itu dengan kenangan atau emosi pada waktu itu. Walaupun kita tidak menyukai jenis bau yang sama, bau sememangnya amat bermakna bagi kita semua.

Itulah sebabnya wangian yang anda pilih untuk kediaman anda memberikan suasana dan personaliti khas, sama ada bau segar dapur yang bersih ataupun aroma tenang lilin yang berkerlipan.

Apakah yang Membuatkan Wangian Berbau Harum?

Wangian yang hebat memerlukan banyak bahan berbeza kerana ia mempunyai "lapisan" bauan yang memberikannya kedalaman dan ciri khusus.

  • Bau teratas (top notes) adalah perkara pertama yang anda hidu. Biasanya ia ringan, segar dan menyejat dengan segera.
  • Bau pertengahan (mid notes) adalah bau yang menentukan keseluruhan jasad wangian. Ia akan muncul apabila bau teratas lenyap.
  • Bau asas (base notes) adalah lebih berat dan tahan lebih lama. Ia memberikan kedalaman dan meninggalkan kesan. Anda mungkin tidak dapat mengamati bau asas sehingga anda berada di sekitarnya selama kira-kira 30 minit!